Showing posts with label Kembara Bumi Kenyalang. Show all posts
Showing posts with label Kembara Bumi Kenyalang. Show all posts

Antara Ko-SPIN, H1N1 dan Ijtima' Tabligh...

Saya baru sahaja pulang dari Kuala Lumpur-Perak semalam. Buat pertama kalinya pada hujung minggu lepas kaki saya memijak tanah di negeri Perak dan sampai ke UTP, alhamduliLLAH. Sampai juga dan berkesempatan juga akhirnya.

Apa pun, bukan cerita pergi melancong negeri yang ingin saya ceritakan di dalam entri kali ini. Tajuk saja-saja bikin gimik.

........

Hujung minggu baru-baru ini ada dua-tiga peristiwa signifikan yang berlaku di dalam bumi Malaysia ini.

Kongres Rejuvenasi Sistem Pendidikan Islam Negara (Ko-SPIN '09) anjuran GAMIS telah diadakan di Shah Alam semalam. Walau bagaimanapun, saya tidak berkesempatan untuk menghadiri kongres tersebut. Ada juga sahabat yang bertanya samada saya akan pergi ataupun tidak ke kongres tersebut. Saya difahamkan ramai tokoh-tokoh bidang akademik seperti Prof Dr Sidek Baba, Dato’ Dr. Siddiq Fadzil, Prof Dr. H. Irwan Prayitno serta beberapa nama lain yang turun membentangkan kertas kerja mereka.

Syabas buat GAMIS kerana berjaya mendapat meraih sokongan penuh daripada Kerajaan Negeri Selangor dalam menjayakan program seumpama itu.

'Alaa kulli haal, semoga kongres yang diadakan mampu menjana pembaharuan dalam sistem pendidikan Islam di Malaysia, semoga sistem pendidikan di Malaysia menjadi lebih efektif dan dapat berangkat dari takuk asalnya yang lebih banyak melahirkan pelajar belajar sekadar menghafal untuk masuk peperiksaan.

............

Di Sarawak pula, Rainforest Music Festival diadakan di Kampung Budaya Sarawak. Maka ramailah orang-orang asing termasuk pelancong asing yang turun ke Sarawak untuk meraikan festival muzik hutan hujan itu. Mungkin ini dilihat sebagai salah satu punca yang boleh membawa keuntungan yang besar baik kepada penganjur ataupun kerajaan negeri sendiri.

Walau bagaimanapun, dalam keadaan Malaysia dan seluruh dunia masih gawat dan penduduk dunia masih dalam keadaan ketakutan lantaran epidemik H1N1 atau bahasa kasarnya Selsema BABI masih mengganas, saya merasakan adalah tidak wajar pihak penganjur meneruskan program tersebut dalam keadaan sekarang.

Cuba bayangkan pelancong-pelancong asing termasuklah yang main muzik itu sendiri datang dari negara-negara luar yang terdedah kepada H1N1, bukankah ada potensi untuk meramaikan lagi pembawa-pembawa virus itu?

Kenapa tidak ditunda sahaja program itu sehingga keadaan menjadi kembali stabil?

Mungkinkah ini tanda terdapat kegagalan dari segi menilai yang mana satu lebih awla/ utama, di antara mahu memenuhkan poket dengan wang hasil konsert dan (kononnya) mahu memberikan pendedahan kepada masyarakat tentang muzik rainforest serta menjadikan Sarawak sebagai destinasi pelancongan dan menghalang ataupun mengurangkan kemasukan pendatang asing kerana dikhuatiri peningkatan terhadap jumlah individu yang dijangkiti oleh H1N1?

Pada pandangan saya, ini tidak berbaloi. Kementerian Kesihatan sekarang bukan main lagi berkempen mahu mengurangkan tahap keseriusan epidemik ini, tetapi kita masih lagi mahu membawa golongan-golongan yang berpotensi ini ke dalam negeri. Ini hanya menambahkan lagi risiko jangkitan.

Mungkin pihak penganjur perlu mengambil strict safety measures, untuk mengelakkan risiko yang lebih berbahaya diambil.

.............

Semalam, semasa berada di LCCT, keadaan kelihatan agak meriah. Tidak pernah dilihat sebelum ini, ramai yang berkopiah dan berjubah semalam.

Ya, ramai golongan jamaah Tabligh yang saya temui di LCCT semalam. Hari Khamis yang lepas, saya tertanya-tanya "kenapa ramai sangat tabligh kat LCCT ni? Ada jamaah keluar 40 hari di Semenanjung ke?"

Rupa-rupanya, pada masa yang sama Ko-SPIN diadakan, jamaah tabligh pun turut berijtima' juga. Ijtima' tersebut diadakan di sekitar Sepang.

AlhamduliLLAH, sekurang-kurangnya lebih sedikit berkat dan rahmat ALLAH SWT di KL 'Kota Kesenian Islam' itu dengan keberadaan dua program Islamik yang berada berdekatan dengannya.

Saya kagum juga dengan mereka ini. Di dalam suasana ramai itu, mereka berjaya menampakkan syiar Islam. Di LCCT semalam, memang meriah dengan golongan yang berjubah, berkopiah, berserban. Tidak kurang juga ada yang membaca sisipan Al-Qur'an sementara menunggu panggilan flight. Sekurang-kurangnya berbekas juga LCCT dan Sepang dengan aura da'wah mereka.

Apa yang menarik, di dalam Ijtima' Dakwah Tabligh Sedunia itu, pemimpin kita pun turut turun padang sekali. Tajuk di dalam akhbar Metro yang saya baca, "Sokongan PM, TPM", lebih kurang begitu. Saya tersenyum dan agak terkejut sedikit melihat tajuk itu, melihat PM yang bersongkok dan berucap di depan ribuan ahli jamaah Tabligh. Agak janggal bunyinya.

Tapi, siapa tahu mungkin ini suatu petanda perubahan bahawa beliau juga akan turut bersama dengan jamaah Islam... semoga begitulah hendaknya.

P/S: Mungkinkah ramai lagi di antara pemimpin 'kita' yang akan keluar 3 hari, 40 hari ataupun 4 bulan selepas ini? InsyaALLAH tuan-tuan yang mulia!


WaLLAHuta'ala a'lam,

Ibn 'AbdiLLAH As-Sarawaki,
2.47pm,
Isnin, 13 Julai 2009,
Kuching, Sarawak.

Ke Mana Perginya Asatizah Local Kita?


Assalamu’alaikum warahmatuLLAHi wabarakatuh,

AlhamduliLLAHi ‘alaa kulli haal,

Segala puja-puji ke hadrat Rabbul ‘Izzati ALLAH SWT atas segala-galanya,

Selawat dan salam tanda kecintaan sejati kepada hamba-Nya yang paling mulia, Muhammad Al-Rasul , ahlul bayt serta para sahabat baginda.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud:

“Dan hendaklah ada (tersusun) di antara kamu, segolongan umat yang (tetap) menyeru kepada kebaikan dan menyuruh berbuat ma’ruf dan melarang (melakukan) yang munkar. Merekalah orang-orang yang berjaya” – Ali Imran ayat 104.

Ayat ini saya tujukan kepada anak-anak Sarawak yang bersekolah di sekolah agama ataupun yang mengaji agama sekarang ini, tidak kira di luar Sarawak, lebih-lebih yang berada di Sarawak.

Maaflah, mungkin ayat yang saya gunakan ini tidak kena dari segi penggunaannya, mungkin tidak kena dengan asbabun nuzul / sebab turun ayat ini. Kerana saya bukan dari aliran belajar agama secara mendalam. Saya tidak pernah mengambil jurusan agama di universiti, melainkan belajar Tamadun Islam di peringkat permukaan sahaja.

Saya dulu pernah bercita-cita nak jadi orang agama. Bukan jadi ustaz biasa! Jujur saya katakan – saya pernah menyimpan cita-cita mahu menjadi mufti negeri Sarawak suatu ketika dahulu. Segar di ingatan lagi, waktu itu saya di tingkatan tiga. Baru sahaja selesai PMR. Selalu juga melihat ALLAHyarham atuk saya dikunjungi anak muridnya yang sekian ramai. Belajar agama dari atuk. Melihat kesungguhan atuk mengajar agama kepada masyarakat tempatan menyebabkan saya berminat untuk mengikut jejak langkah atuk, cumanya saya nak lebih dari itu! Saya mahu jadi mufti!

Walau bagaimanapun, keadaan di waktu itu di mana saya tidak pernah berpeluang untuk mempelajari sebutir habuk bahasa Arab menyebabkan saya beransur hilang semangat. Tambahan pula tidak bersekolah agama, basic agama hanya diperolehi daripada sesi kelas Fadhu ‘Ain dan juga silibus Pendidikan Islam PMR. Maka cita-cita tersebut pun berkubur, berlalu dengan masa, dibuai jauh hanyut oleh angin yang bertiup….

Itu cerita cita-cita saya. Mungkin tidak banyak kaitan dengan mesej yang saya mahu bawa di sini.

Kita kurang ustaz tempatan.

Ya! Saya sangat setuju dengan penyataan itu. Jikalau diamati di Sarawak ini, saya boleh katakan bahawa 95% daripada ustaz di Sarawak ini adalah dari kalangan orang Semenanjung. Biasanya Kelantan ataupun Kedah. Kalau tak pun, Pahang.

Maka saya tertanya-tanya, ke manakah perginya ustaz Sarawak kita?

Sayangnya dan malangnya, dengan bilangan ramai yang enrol ke dalam sekolah agama, tidak ramai yang bercita-cita mahu jadi ustaz. Lebih-lebih lagi di zaman IT sekarang, pastinya yang top 3 ataupun 4 ataupun 5 dalam list cita-cita diisi dengan perkataan-perkataan seperti ‘doktor’, ‘engineer’, arkitek’ dan sebagainya.

Tidak ramai yang mahu menjadi ustaz.

Ya! Itulah hakikatnya. Tidak ramai anak tempatan yang mahu jadi ustaz. Tidak ramai yang sanggup mendidik anak-anak tempatan, mengisi mereka dengan agama. Mungkin gaji yang tidak lumayan. Mungkin memikirkan orang bakal mempersoalkan “ape bende ko nak jadi ustaz ni? Belajar tinggi-tinggi, jadi cikgu je ke? Belajar jauh-jauh ke Mesir, takkanlah nak jadi guru J-QAF sahaja”. Mungkin itu antara yang bermain di fikiran. Buntu juga memikirkan.

Realiti di Sarawak sekarang ini memperlihatkan bahawa masih ramai lagi yang ‘buta agama’. Maafkan saya, tapi itulah hakikatnya. Masih ramai yang tidak mengerti agama dengan sebaik-baiknya. Masih ramai yang tidak settle pada perkara yang terlalu basic. Kasihan juga saya melihatnya. Jangan cerita bab khilaf mazhab, wudhu’ pun ada yang mula dengan basuh telinga dahulu! Sungguh!

Seperti yang saya katakan tadi, majoriti asatizah/ustaz-ustaz adalah dari kalangan orang Semenanjung. Suatu hari nanti, pasti ramai yang balik negeri juga dengan tangggungjawab masing-masing di negeri sendiri. Maka saya bertanya, sampai bilakah pergantungan kita dengan ustaz-ustaz yang datang dari ‘overseas’ ini? Sampai bila hanya berharap dengan ustaz-ustaz dari Melaya ( istilah orang Sarawak untuk Semenanjung Malaysia)?

Saya sebut perkara ini bukan hanya mengenangkan tidak ada ustaz-ustaz dari kalangan orang Sarawak yang mengajar di sekolah-sekolah, tetapi juga yang terlibat dalam medan da’wah yang lebih bersifat umum dan menghala kepada masyarakat awam. Tidak ramai ustaz-ustaz Sarawak yang dapat dilihat melibatkan diri dalam program-program ziarah da’wah, kemasyarakatan, hatta di dalam ceramah-ceramah dan kuliah pun nampaknya masih tidak ramai lagi ataupun mungkin di sesetengah kawasan langsung tidak ada ustaz Sarawak.

Baru-baru ini saya sempat ‘menjenguk’ sekitar Kampung Iran dan Kampung Tanjung Belipat serta kampung-kampung yang lain di sepanjang jalan Bintulu-Miri, menemani Ustaz saya untuk research PhD beliau. Singgah sahaja di musolla, masjid ataupun surau, nama-nama ustaz yang disebut asalnya dari Pahang, Kelantan, Kedah, itu sahaja. Mana perginya orang Sarawak?

Dan yang lebih menyedihkan lagi, di negeri sendiri ini pun masih ada lagi ustaz-ustaz Sarawak yang tidak sanggup untuk berkorban duduk di kawasan-kawasan ulu pedalaman menyampaikan da’wah Islam. Kebanyakan mahu hidup selesa, maka tinggallah ustaz-ustaz Semenanjung seorang-dua orang berjuang bermati-matian mendidik penduduk kampung di pedalaman. Ke mana perginya Ustaz Sarawak kita?!

Di program-program anjuran NGO dan badan-badan da’wah seperti Yayasan Amal Malaysia, JIM, ABIM dan sebagainya , ramainya orang Semenanjung. Ustaz-ustaz yang ada pun adalah daripada kalangan orang Semenanjung. Hanya satu-satu setengah kerat sahaja Ustaz Sarawak.

Mana perginya orang-orang kita?

Saya tidak mahu memperpanjangkan entri ini, maka saya tutup dengan dua persoalan ini;

  1. Adakah ada lagi ustaz-ustaz dari kalangan orang Sarawak dalam masyarakat kita ini?
  2. Andaikata memang ada, ke manakah perginya ustaz-ustaz dari kalangan orang Sarawak ini? Ke mana perginya orang local lepasan Azhar, Madinah dan lain-lain, ataupun setidak-tidaknya dari UIAM? Kenapa jarang-jarang sekali wajah-wajah asatizah Sarawak yang muncul dalam program-program da’wah dan kemasyarakatan?

Kita maklum bahawa kristianisasi semakin hebat di Sarawak ini, kita saksikan sendiri bagaimana pengorbanan mubaligh-mubaligh mereka dalam menyampaikan risalah agama mereka – mereka sanggup memasuki ceruk-ceruk ulu untuk mengkristiankan penduduk di sana, dan pada masa yang sama – kita kata kita risau dengan perkembangan seperti ini tetapi kita tak buat kerja!

Katanya risau tetapi tidak mahu berkorban! Katanya risau tetapi di hujung minggu masih boleh duduk selesa di atas sofa menonton TV bersama keluarga! Katanya risau tapi masih mahukan kerehatan dan senang-lenang! Katanya risau tapi usrah pun tidak hadiri!

Saya mohon maaf dengan sebanyak-banyaknya andai terkasar dan berkasar bahasa dalam penulisan ini. Saya tidak bermaksud untuk memberontak bersikap kurang ajar terhadap golongan ustaz-ustaz Sarawak ini, malah saya hormati mereka. Dan saya juga tidak bermaksu untuk membuka pekung di dada orang Sarawak mahupun asatizah Sarawakian.

Cuma, saya mempertikaikan adakah sudah selesai segala kerja dan amal islami kita dengan hanya mengajar di sekolah menghabiskan silibus kemudian di hujung minggu duduk di sofa menonton ASTRO bersama keluarga, tanpa mempunyai inisiatif untuk mendekati masyarakat melalui program-program da’wah yang banyak merata?

Maka, saya menyeru kepada para pelajar sekolah agama, pelajar jurusan agama di IPT-IPT, serta graduan jurusan agama, isikanlah kekosongan ustaz-ustaz Sarawak bagi mengisi kekosongan jiwa di kalangan masyarakat yang sudah semestinya perlu diisi dengan ruh-ruh beragama!

Bangkitlah Asatizahku! Giatkanlah diri dalam pelbagai lapangan amal Islami dan gunakanlah peluang-peluang yang ada untuk da’wah dan Islam! Marilah sama-sama belajar berkorban untuk Islam!

Ayuh, orang Sarawak! Bangkitlah berjuang untuk Islam!

Wassalam,


Mujahid Muda

Ibn ‘AbdiLLAH As-Sarawaki,

9.27am,

25 Mei 2009, Isnin,

Bintulu, Sarawak.

Sarawak Oh Sarawak

“Di Sarawak ni, ada orang kata kat saya yang Islamnya kat sini ialah Islam sepertimana kita di zaman 60-an atau 70-an kat Semenanjung dahulu. Ada ustazah yang pakai tudung main ikat kat leher je, pakai kebaya ketat..”..

Itulah gambaran yang pernah diberikan kepada hadirin dalam suatu majlis berkaitan pergerakan da’wah di Sarawak ini, yang turut saya sertai dalam tahun 2006 yang lepas. Amat jelas kepada kita tentang gambaran bahawa kurangnya kesedaran serta kefahaman terhadap Islam di kalangan masyarakat Islam di Sarawak. Saya akui bahawa itulah hakikatnya yang berlaku di negeri tanah air tercinta, tempat kelahiran saya sendiri; Sarawak. Kedangkalan dari segi ilmu agama Islam serta penghayatannya dalam kehidupan. Di masjid-masjid atau di surau-surau, kebanyakan pengunjung setianya hanyalah dari kalangan warga emas.

Ketahuilah bahawa mentaliti di kalangan warga emas di sini melihat bahawa Islam itu adalah dari sudut ‘ibadah khusus sahaja khusus sahaja seperti solat, baca al-Quran, puasa, zakat dan haji, persoalan sekitar najis, air mutlak, berwudhu’, perkara membatalkan wudhu’ dan solat serta lain-lain, tanpa melihat kepada isu-isu besar seperti pengamalan riba dalam sistem perbankan, penipuan dalam urusniaga jualbeli, dan berkenaan perkara yang lebih besar lagi, iaitu pengamalan Islam dalam sistem politik di Malaysia, termasuklah perlaksanaan hukum qisos, jinayah, dan lain-lain. Maka, janganlah hairan kenapa orang Sarawak ni, walaupun kutuk kerajaan macam mana pun, kerajaan juga yang mereka undi. Ianya berkaitan dengan kesedaran….

Tidak semua sedar tentang kewajipan da’wah di sini…

Di Sarawak, kesedaran tentang kewajipan berda’wah tidak wujud di dalam pemikiran masyarakatnya. Kebangkitan gelombang da’wah di sini kebanyakannya hanya bermula di kalangan ahli akademik serta penjawat jawatan tertentu yang berkefahaman Islam dan juga para mahasiswa yang didedahkan dengan ilmu-ilmu sekitar da’wah ini. Apabila kita menyebut tentang menyampaikan ilmu-ilmu berkaitan da’wah dan disiplinnya ini kepada golongan-golongan ini, maka tiadalah platform lain yang dimaksudkan selain daripada sistem usrah yang dijalankan samada secara sirr/rahsia ataupun jahar/terang-terangan (seperti usrah yang dibawakan oleh sesetengah pihak) di institusi pengajian tinggi ataupun di rumah-rumah ahli usrah sendiri. Maka penyampainya atau orang yang mengendalikan usrah-usrah ini pula sudah tentu adalah dari kalangan orang-orang Semenanjung. Daripada usaha mereka inilah akhirnya berkembang ilmu-ilmu sekitar da’wah ini sehingga sistem usrah boleh dikendalikan sendiri oleh pendukung-pendukung da’wah di kalangan anak jati Sarawak sendiri.

Walau bagaimanapun, sebelum ilmu-ilmu dalam pergerakan da’wah ini diperturunkan kepada ahli-ahli usrah, mereka sebenarnya terlebih dahulu telah didedahkan dengan ilmu-ilmu asas berkaitan kefahaman Islam, agar mereka benar-benar faham tentang Islam dengan kefahaman yang sebenar-benarnya sebelum mereka bersedia untuk memikul tanggungjawab da’wah ini. Maka, perkara yang lebih penting untuk diberikan tumpuan kepada masyarakat Islam di sini ialah kefahaman asas yang tulen dan benar terhadap Islam sebelum kita melangkah lebih jauh untuk berkempen siapa yang sepatutnya diundi…. Marilah kita mulakan dengan menyebarkan kefahaman yang benar…

Memulakan dengan yang asas…

Di Sarawak, kesedaran tentang kewajipan melaksanakan hukum Islam dalam undang-undang dan politik adalah sangat lemah dan masih lemah. Di Sarawak, ramai yang mengundi PAS bukanlah kerana faham tentang kewajipan menegakkan hukum-hukum Islam. Tetapi mereka lebih cenderung untuk bertaqlid dengan tindakan membangkang atas dasar tidak berpuas hati dengan tindakan kerajaan yang kadangkala nampak bersikap tidak adil dan menzalimi rakyat. Walau apa pun, saya tidak mengatakan tindakan mereka ini adalah merupakan suatu kesalahan. Ini kerana hujjah-hujjah mereka ini saya kira boleh diterima dari sudut demokrasi; rakyat berhak untuk memilih sesiapa yang mereka rasakan boleh mentadbir dengan baik. Cuma, saya rasa adalah lebih baik untuk kita mempersiapkan golongan ini dengan kefahaman Islam yang sebenar terutamanya dari segi konsep kesyumulan Islam..supaya mereka tahu bahawa sememangnya wujud dalil-dalil dan nas-nas yang mewajibkan penegakkan hukum-hukum Islam; supaya mereka bukan sahaja bertindak atas dasar demokrasi, tapi juga bertindak berdasarkan hujjah-hujjah yang lebih kukuh yang tidak dapat dipertikaikan lagi (kecuali bagi mereka yang berfahaman sekular dan hanya menurut hawa nafsu yang enggan tunduk kepada perintah ALLAH S.W.T dan Rasul-Nya).

Berbalik kepada perbincangan kita yang asal, berdasarkan kepada situasi yang saya ceritakan tadi menggambarkan bahawa betapa lemahnya kefahaman masyarakat Islam di Sarawak tentang konsep kesyumulan Islam, yang mana mereka berkefahaman bahawa Islam itu adalah solat, puasa, zakat dan haji; tidak lebih dari itu. Jika ada yang faham pun, bilangannya adalah sangat sedikit…Jelaslah bahawa kita memerlukan lebih ramai lagi orang yang berkefahaman…

Untuk memberikan kefahaman yang benar tentang Islam seperti yang saya sebutkan tadi, tidak lain, kita perlu mulakan daripada yang asas. Saya yakin, setiap daripada kita yang terlibat dalam usrah sudah pasti pernah melalui bab awal dalam silibus terawal usrah yang membincangkan tentang sifat-sifat khusus Islam/khasais Islam. Di sana, kita pernah menyebutkan tentang konsep kesyumulan Islam, Islam Itu Menyeluruh. Maka dari konsep itulah kita faham bahawa Islam itu adalah segala-galanya, termasuklah dalam hal politik. Maka kita tahu bahawa tidak sepatutnya mengenepikan soal politik apabila kita berkata Islam itu menyeluruh. Lihatlah, kita dahulu juga pun bermula dari sini juga, jadi untuk memberikan kefahaman yang jelas kepada yang lain, kita mulakan di sini juga untuk mereka…start from the scratch…kita mulakan dari yang asas. Dari kefahaman asas yang jitu yang boleh membentuk individu muslim/fardhu muslim yang sejati, sehingga pembentukan keluarga muslim/baitul muslim sehinggalah ke peringkat bernegara dan berpolitik….dari mengucap dua kalimah syahadah sehinggalah kepada mendirikan kerajaan Islam seperti yang diajar sendiri oleh Nabi Muhammad S.A.W…

Maka untuk melancarkan kefahaman Islam yang jitu ini, kita hendaklah memulakannya di setiap peringkat di mana kita mengambil kira setiap golongan sebagai sasaran. Dari peringkat remaja sekolah sehinggalah ke golongan warga emas. Di sini, kefahaman yang dimaksudkan ialah menjelaskan kepada masyarakat tentang sifat-sifat Islam yang umum, agar kefahaman mereka tentang Islam menjadi lebih meluas, bukan setakat membincangkan hukum-hukum fiqh ‘ibadah yang kemudiannya akan diulang-ulang sekitar persoalan yang sama.

Satu perkara yang amat melapangkan dada ialah apabila saya melihat bahawa sudah wujud pihak-pihak yang sudi menggerakkan usrah ataupun sekurang-kurangnya program Islamik yang umum seperti mengadakan aktiviti-aktiviti santai yang Islamik, mengadakan ziarah mingguan ke sekolah-sekolah berasrama, mengadakan kelas tuisyen percuma, dan lain-lain lagi kepada pelajar-pelajar sekolah. Tidak kurang juga pihak-pihak tertentu yang bergerak di bawah badan-badan sukarela bagi membantu melakukan kerja-kerja amal untuk masyarakat kampung di Sarawak, contohnya Yayasan Amal dan HIKMAH. Ini sudah pasti membuktikan konsep Islam yang ternyata menunjukkan Islam bukan sekadar solat berjemaah di masjid, mendengar kuliah dan ceramah, tetapi lebih dari itu. Penglibatan badan-badan Islam sukarela juga memberikan kelebihan kepada da’wah Islamiah di mana ahli-ahlinya dapat mendekatkan diri kepada masyarakat, dan kelebihan ini akan digunakan sebagai kesempatan secara tidak langsung untuk menyebarkan da’wah di kalangan masyarakat kampung. Inilah yang saya maksudkan dengan bermula dari yang asas…

Bekerjasama dan mengelakkan perselisihan…

Bagi ahli-ahli yang bergerak dalam sistem usrah, kita sudah pasti tidak asing lagi dengan nama-nama gerakan Islam seperti Parti Islam SeMalaysia (PAS), Jemaah Islah Malaysia (JIM), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), ISMA, Jamaah Tabligh dan lain-lain lagi gerakan Islam yang wujud di Malaysia. Di Sarawak juga tidak ketinggalan di mana setiap mahasiswa yang menyertai sesi usrah pasti akan bertembung dengan nama-nama ini. Apa tidaknya, hampir di seluruh IPT tidak kira swasta ataupun awam mempunyai usrah-usrah yang dikendalikan oleh individu-individu dalam gerakan ini.

Walaupun kita dapat lihat gerakan-gerakan ini mempunyai nama yang berbeza-beza dan golongan yang membawa gerakan ini juga berbeza pangkatnya, namun kita tetap pasti bahawa matlamat gerakan-gerakan ini hanyalah satu; untuk menjalankan kewajipan da’wah Islamiyyah, menyebarkan kefahaman Islam yang sebenarnya, dan bergerak ke arah menegakkan agama ALLAH S.W.T.

Namun, satu fenomena yang tidak sedap didengar ialah apabila ada sesetengah pihak yang terlibat dalam gerakan-gerakan ini sendiri yang menuding jari menunjukkan kelemahan-kelemahan yang ada pada jemaah yang lain. Jemaah di sebelah ini menunjukkan kelemahan jemaah yang ada di sebelah sana, dan begitulah sebaliknya. Saya tidak mahu menerangkan dan memberi contoh-contoh dakwaan yang dilontarkan oleh jemaah masing-masing kepada jemaah lain. Padahal, kesemuanya menuju ke arah matlamat yang sama. Sama-sama bercita-cita mahu menegakkan Islam, sama-sama mahu memberikan kesedaran kepada masyarakat, sama-sama membenci thaghut….maka kenapa masing-masing mahu membuka pekung di dada saudara seIslam sendiri yang sebenarnya bergerak menuju matlamat yang sama, dan pada yang sama, membiarkan musuh Islam menyelinap masuk memasukkan jarum-jarum menghancurkan agama di masa kita masih sibuk berbalah sesama sendiri?

Kenapakah kita tidak boleh melupakan sahaja perselisihan yang tidak bermakna itu dan menjadikan matlamat kita sebagai fokus utama. Kenapa tidak bersatu sahaja, daripada berpecah dan membentuk jemaah yang baru? Bukankah ia akan memburukkan lagi keadaan?

Baru-baru ini, seorang sahabat yang sama-sama terlibat dalam gerakan Islam ada menyatakan pendapatnya terhadap satu jemaah (yang mana saya sendiri merupakan ahli jemaah yang dia maksudkan), “Setahu saya, bukankah jemaah ini ..itu ini, itu ini….?” dan kemudian dia menyatakan pendapatnya kepada saya, yang mana salah satunya berbunyi “Bagi saya, salah satu daripada faktor yang penting dalam memilih jemaah / kejayaan da’wah ialah uslub da’wah itu sendiri. Kalau uslub da’wah itu tidak dapat diterima oleh masyarakat, maka bagaimana nak berjaya?”.

Jawapan saya kepadanya “Oleh sebab itu, kita kena bersatu. Di mana ada platform yang mudah diterima masyarakat, dan platform mana yang mampu membawa kita dekat kepada masyarakat, platform itu yang kita gunakan. Jika masyarakat boleh terima HIKMAH, kita bantu kuatkan HIKMAH.

Bagi saya, saya memilih jemaah yang nyata menunjukkan kesyumulan Islam dalam pergerakannya. Jemaah yang merangkumi dari golongan petani, nelayan, penoreh getah, kepada golongan korporat sehinggalah kepada golongan ulama’. Dan saya meyakini jemaah yang pemimpinnya adalah ulama’. Jemaah yang merasai sendiri keperitan dan penindasan daripada golongan yang menyeleweng dan bukan hanya duduk di bawah penghawa dingin, tetapi jemaah yang turun ke padang untuk membantu masyarakat. Ianya bukanlah jemaah hanya untuk jurutera-jurutera sahaja, tetapi untuk semua. Dan anda juga mempunyai pilihan dan pendapat anda sendiri.

Masih jauh lagi perjalanan untuk menyedarkan jumlah besar masyarakat di Sarawak tentang perlunya kerajaan Islam yang menegakkan hukum-hukum ALLAH S.W.T.

Saya sendiri yakin jika ada sesetengah pihak yang kurang faham, maka mereka akan memandang jelek terhadap tulisan ini kerana membawakan isu politik. Mulakan dengan da’wah umum. Apabila asas sudah kuat, barulah kesedaran akan timbul. Barulah masyarakat akan faham. Barulah masyarakat boleh terima.

Inilah mesej utama dalam tulisan saya ini sebenarnya. Saya ingin berpesan kepada semua ahli dari semua jemaah yang mendakwa membawa Islam, agar bersatu untuk mencapai matlamat yang sebenar. Mari kita menggembleng tenaga dan mengumpul lebih banyak idea yang boleh kita gunakan untuk menyebarkan kefahaman Islam yang sebenar ke dalam masyarakat. Kita mulakan dengan yang asas, dan apabila telah sempurna tapak yang kukuh, barulah kita teruskan langkah yang seterusnya. InsyaALLAH, Islam akan menang. Kita bekerja untuk Islam, tidak kira kita berjaya atau tidak, ALLAH tidak melihat kepada keputusan, tapi ALLAH melihat kepada proses dan usaha kita dalam membela agamaNya. ALLAH telah menjanjikan kemenangan Islam, jika bukan masa kita—mungkin di waktu anak cucu kita nanti.

Tuan Guru Haji Fadzil Mohd. Noor pernah menyebut dalam bukunya yang bertajuk ‘Aqidah dan Perjuangan, yang berbunyi “Kebenaran (haq) itu walaupun dalam keadaan lemah tetapi akhirnya ia akan menang.”

Sayyid Qutb dalam surat terakhir beliau kepada adiknya telah menulis sebelum beliau syahid di tali gantung : “Kita selalu akan merasa sempit dada jika kita merasakan kitalah yang memulakan dan mengakhiri perjuangan ini. Tetapi kesempitan ini tidak akan terasa jika kita merasai bahawa kita menyambung perjuangan yang lalu dan akan diteruskan oleh generasi yang akan datang. Adikku, usahlah engkau gerun dengan tali gantung yang akan menjerut leherku ini.”

Janganlah kita berbalah memikirkan soal jemaah mana yang lebih hebat, yang mana satu adalah paling baik, yang mana satu lebih ideal. Sedarlah, jemaah yang paling ideal, paling sempurna hanyalah pada jemaah Nabi Muhammad S.A.W. dahulu. Jalan kejayaan hanya ada pada kesatuan di zaman ini. Hayatilah makna pepatah Melayu “Bersatu teguh, bercerai roboh”.

Wallahua'lam.

Ghulam as-Sarawaki

12 Januari 2008 / 3 Muharram 1429H

 
Ikatan Studi Islam Sarawak. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.